Tuesday, July 19, 2011

Pengalaman pahit memalukan majlis resepsi 4 Jun 2011 KELAB GOLF DANAU UKM dan De SALAM CATERING 1

Saya demam panas dan berbaring-baringan kerana demam ini buat terlambai singgah sakit hati, teringat insiden pada majlis resepsi Suraya di Danau Golf Club UKM 4 Jun 2011. Buat peringatan mereka yang masih mencari-cari dewan resepsi majlis perkahwinan, beberapa pengalaman kami dengan kelab golf ini dan katering kelab ini, De Salam Catering.

Kami membayar sampai tiga puluh ribu untuk pakej 900 tetamu belum termasuk perbelanjaan kami keluarkan buat pelamin dan hiasan bunga-bungaan walkaway dan gerbang menuju pelamin. Pelamin ini bukanlah buat upacara bersanding atau menepung tawar. Hanya sekadar sebagai lokasi bergambar. Juga kami mengeluarkan belanja buat kain tabir di belakang meja makan pengantin.

Seboleh-bolehnya saya mahu melupakan jauh rentetan perkara sangat menyakitkan hati dengan kelab golf dan katering itu. Memang sudah tersurat begitu. Namun mesti bersebab. Mungkin pengalaman pahit ini buat panduan orang lain melalui cerita pengalaman kami.

Lalu buat panduan mereka yang mungkin masih mencari-cari apa-apa info tentang pengalaman mengadakan majlis resepsi perkahwinan di kelab itu, ini pengalaman pahit kami. Kalau bercita-cita mahu mengadakan majlis di kelab itu, jumpalah kami, tanyalah pengalaman kami. Sangat-sangat menyakitkan hati, menjatuhkan maruah kami sebagai tuan rumah majlis resepsi.

1. Selalunya keluarga tuan rumah majlis diberi makan lebih awal. Kalau majlis bermula pukul 12 tengah hari, keluarga tuan rumah lazimnya dihidang makan seawal pukul 11 pagi. Begitulah juga kelaziman kenduri-kenduri di kampung-kampung atau apa-apa majlis pun. Begitulah servis bagus kami terima dari pengurusan kelab ini pada majlis resepsi puteri sulung. Pengurusan yang sebelum ini.

Hari itu kami sekeluarga sampai lebih awal kerana memikirkan seperti kelaziman majlis-majlis kenduri kahwin, kami sekeluarga akan diberi makan terlebih dulu, seawal jam 11 pagi. Majlis bermula jam 12 tengah hari.

Malangnya lewat pagi itu. Bukan saja tiada sesi makan lebih awal buat keluarga tuan rumah, malah beberapa minit selepas jam 12 tengah hari, dua dewan masih belum bersedia menerima tetamu. Kami tersangat malu dengan tetamu-tetamu tiba jam 12 tetapi terpaksa menunggu hampir setengah jam sebelum boleh memasuki dewan.

Oleh kerana semakin ramai tetamu menunggu dan keluarga kami perlu bertugas menyambut tetamu, saya berkeras meminta kami dibenarkan memasuki dewan makan kedua, Dewan Pujangga. Ketika itu pekerja-pekerja katering baru sibuk mengangkat tangki-tangki bekas minuman. Kenapa lambat benar? Walhal termaktub perjanjian majlis bermula jam 12 tengah hari?

Saya hanya sempat menjamah suku daripada sepotong kuih Serimuka bila terpaksa bergegas keluar menyambut tetamu semakin berpusu ramai. Sar pula hanya sempat menjamah sesuap dua nasi.

Manakala dewan utama, Dewan Seri Kayangan, kami diberitahu oleh pegawai DGC yang bertugas, dewan utama ini masih belum bersedia menerima tetamu. Dewan utama ini hanya bersedia menerima tetamu selepas ketibaan rombongan pengantin lelaki pada jam 1:45 petang. Walhal sebelum itu saya difahamkan, Dewan Pujangga hanya berfungsi sebagai dewan tambahan bila Dewan Sri Kayangan dipenuhi tetamu?

2. Belum pun pukul 3:30 petang. Beberapa orang ahli keluarga kami terpandang pekerja-pekerja katering melarikan makanan hidangan pengantin, mereka makan hidangan ini di bilik di sebelah dewan. Pekerja-pekerja katering itu mencuri hidangan pengantin kami! Ahli keluarga kami tidak menang tangan melayan tetamu sampai tidak sempat berbuat apa-apa diatas insiden mencuri ini.

3. Belum pun pukul 4 petang. Majlis selesai pukul 5 petang. Seorang ahli keluarga kami pergi dapur mahu meminjam pisau untuk sesi memotong kek perkahwinan. Ketika inilah ahli keluarga ini terlihat beberapa orang pekerja katering mengusung berbondot-bondot bungkusan nasi dan lauk-pauk dari dewan resepsi kedua, Dewan Pujangga. Ahli keluarga ini melihat dengan mata kepala, mereka ini mengusung bungkusan ini keluar dari dapur dan bangunan kelab. Maknanya makanan itu mahu dibawa pulang!

4. Baru pukul 4 petang. Saya melihat dengan mata kepala saya sendiri. Saya sedang melayan tetamu di dewan resepsi utama, Dewan Sri Kayangan. Pekerja-pekerja katering mulai laju membungkus nasi dan lauk-pauk. Pada mulanya saya memikirkan yang mereka ini membungkus untuk kami. Rupa-rupanya mereka membungkus buat diri sendiri!

Bila saya minta agar makanan berbaki dibungkus buat kami tuan rumah majlis pada seorang chef yang sekadar melihat pekerja-pekerja membungkus makanan, kami diberi plastik dan getah ditinggalkan di atas satu meja makan. Bungkuslah sendiri!

5. Walaupun baru pukul 4:15 petang, memandangkan pekerja-pekerja katering laju membungkus tapau makanan majlis kami, saya minta ahli keluarga kami pun membungkus makanan. Malangnya ketika itu nasi sudah hampir habis dibungkus oleh pekerja katering. Kami hanya dapat membungkus satu dua lauk! Walhal belum pun 4:30 petang. Setengah jam sebelum majlis berakhir dan kami masih menerima tetamu!

Bila saya mencadangkan anak-anak saudara saya membungkus makanan di dewan sebelah, Dewan Pujangga, AJAIB! Makanan di dewan itu sudah licin ghaib ditapau oleh pekerja-pekerja katering! KOSONG! Kenapa buruk sangat laku!!! Mana hak kami sebagai pengguna membayar sampai tiga puluh ribu untuk makanan majlis ini!

6. Ahli keluarga kami mengadu terlihat sekumpulan pekerja katering menjamu hidangan di satu meja di dalam dewan utama majlis resepsi, semasa masih ramai lagi ahli keluarga kami tercari-cari mana meja makan kosong. Bukankah mereka itu sepatutnya bertugas. Wajarkah mereka meletakkan diri sebagai sebahagian daripada tetamu?

7. Ketika menunggu dijemput di lobi kelab selepas jam 5 petang, saya melihat sendiri di hadapan mata ini, pekerja-pekerja katering lalu di hadapan saya tanpa silu tanpa rasa malu, sakan memborong bungkusan nasi dan lauk-pauk kenduri! Itu makanan curi! Tanpa izin kami!

8. Sebagai mangsa yang teraniaya, ya saya sering berdoa semoga Allah subhanahuwataala membalas dengan pengajaran yang sepatutnya kepada katering ini dan juga pegawai Kelab Danau Golf yang bertugas, yang seakan-akan eh? meletakkan kepincangan ini kepada kesilapan kami sendiri.

Amin amin ya Rabbulalamin oh Tuhanku. Hanyalah kepadaMu aku berserah. Hanya kepadaMu ku mengadu.

Juga kala sedang rasa marah+sakit hati teraniaya ini masih menyelimuti, saya tidak halal dunia akhirat pada mereka yang mencuri makanan kenduri kami!

Malah, saya hanya pertama kali mulai merasa cuak|terfikir, tentang makanan mahu ditapau, sejurus saja terdengar pegawai perempuan ini bertahap sales executive DGC berbual dengan pekerja-pekerja katering, mereka mahu bungkus Acar Buah yang sedap itu! Saat itulah mata saya ini mulai terpandang yang pekerja-pekerja katering itu sedang laju membungkus makanan!

Update 23 Ogos 2013

Saya dapat tahu kini Danau dengan pengurusan baru. Katering baru. Maka pada sesiapa menempah pakej perkahwinan Danau Golf 2013, anda berurusan dengan pengurusan yang baru, katering yang baru. Semoga pengurusan yang baru ini lebih bagus. Begitu juga dengan katering yang baru itu. Sebagaimana kami berpuas hati dengan pengurusan Danau Golf dan katering Danau pada majlis resepsi puteri sulung kami pada tahun 2005. Hajat hati sebelum ini. Mahu menempah tradisi perkahwinan semua puteri kami di Danau Golf. Bagaimanapun selepas kes ini, mohon dengan izin Tuhan, kami mahu beralih lokasi resepsi.